Sejarah JHEAT

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) adalah salah sebuah jabatan tertua di negeri ini dan ia bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan hal ehwal Islam di Terengganu. Di awal penubuhannya, jabatan ini dikenali dengan nama Pejabat Agama dan Keadilan yang diketuai oleh Pesuruhjaya Agama sebagai ketua jabatan.
Sebelum wujudnya pejabat agama, asas sistem pentadbiran Hal Ehwal Agama sudah terbentuk dan terbina semenjak tahun 1708M lagi. Pada ketika itu, pentadbiran agama dilakukan oleh individu-individu yang berpengetahuan agama dan mereka ini adalah dilantik oleh Sultan untuk menjawat jawatan Kadi, Mufti dan Syeikhul Ulama.
Kadi yang terawal iaitu Kadi Wan Imam Mahmud dan beliau bertanggungjawab menyempurnakan upacara pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah I, pengasas institusi kesultanan Terengganu pada 1708. Menurut Hether Sutherland pula, di dalam artikelnya yang bertajuk “The Tranformation of the Trengganu Legal Order” telah menjelaskan bahawa Sultan Omar telah melantik Mufti yang pertama iaitu Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas. Bagaimanapun tarikh pelantikan sebenar Mufti yang pertama, tidak ditemui memandangkan tiada sebarang surat-menyurat atau tauliah pelantikan yang ditemui mengenainya. Untuk makluman, nama jawatan mufti dan kadi, ada disebut dengan jelas dalam satu salinan surat wakaf Sultan Umar (1839-1876), (Sultan Terengganu yang kesembilan) yang bertarikh 19 April 1874.
Disamping itu, ada juga pentadbiran agama yang diketuai oleh ketua-ketua pejabat (merujuk Ketua jabatan) yang menjalankan bidang-bidang kuasa tertentu mengikut arahan Sultan dan Jabatan Maha Tinggi Kerajaan (Pejabat Istana Sultan). Dicatatkan bahawa pada tahun 1916, Mohamad bin Hitam menjadi ketua pejabat Mahkamah Balai, Hj Long menjadi ketua pejabat Mahkamah Syariah dan Tengku Ngah Omar menjadi ketua pejabat Keadilan.

Ada juga hal-hal bersangkut paut dengan pentadbiran agama yang dikeluarkan terus oleh Setiausaha Kerajaan, Dato Bentara Dalam Tengku Mahmud bin Mohamad (1912-1920) selaku ketua pentadbir negeri. Ia melibatkan pelaksanaan pentadbiran agama di peringkat negeri seperti Undang-Undang, Isytihar dan arahan-arahan tertentu yang ditandatangani oleh beliau sendiri. Dicatatkan beliau pernah mengeluarkan Isytihar Kerajaan pada 18 Disember 1918 yang mengarahkan supaya setiap mukallaf di Terengganu supaya mengerjakan segala pekerjaan makruf dan menjauhkan daripada segala perkara mungkar. Disamping itu, beliau juga memperkenalkan Undang-Undang Kesalahan Orang Islam yang telah mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Terengganu pada ketika itu, Sultan Muhammad II pada tahun 1919 .
Usaha-usaha kearah penubuhan pejabat agama (sekarang Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) telah bermula pada awal 1920. Penubuhan pejabat agama ini telah dicadangkan oleh Naib Menteri Besar Terengganu, Hj Ngah @ Muhamad bin Yusof (Dato’ Seri Amar Di Raja) dalam surat beliau bertarikh 31 Mac 1920. Beliau menjelaskan tentang perlunya kewujudan pejabat agama secara rasmi dan ketua pejabat untuk mengendalikan pentadbiran hal-hal berkaitan keagamaan. Kandungan surat tersebut tersebut telah diangkat sembah oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan ketika itu, Tengku Seri Setia Raja, Tengku Omar bin Othman ke Jabatan Maha Tinggi Kerajaan untuk mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Muhammad II (1918-1920). Berkuatkuasa 8 Mei 1920, pejabat agama berjaya ditubuhkan secara rasminya apabila seorang kerabat diraja iaitu Tengku Seri Utama Raja, Tengku Ngah Umar bin Tengku Abdul Rahim telah dilantik sebagai ketua jabatan dengan gelaran jawatannya Pesuruhjaya Agama.
Sumber penting mengenai pelantikan Tengku Seri Utama Raja sebagai Pesuruhjaya Agama ialah surat tauliah yang bercop mohor dan ditandatangani sendiri oleh baginda Sultan Muhammad II. Dalam surat tauliah dicatatkan :
“Bahawa kita Yang Dipertuan Besar al-Sultan Muhammad kerajaan Terengganu dan takluknya telah menjadikan Tengku Ngah Umar bin al-Marhum Tengku Abdul Rahim, Pesuruhjaya Agama”

Kandungan minit mengenai cadangan penubuhan pejabat agama dan pelantikkan Pesuruhjaya Agama yang pertama.

Tauliah pelantikan Tengku Seri Utama Raja, Tengku Ngah Umar bin Tengku Abdul Rahim sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang pertama pada 8 Mei 1920

Kepercayaan yang diberikan oleh baginda Sultan Muhammad II terhadap Tengku Seri Utama Raja untuk menerajui pejabat agama adalah berdasarkan kepada penglibatan beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan Terengganu dan hubungan yang erat beliau dengan baginda Sultan semenjak dari ayahanda baginda lagi. Beliau pernah terlibat sebagai saksi terhadap perjanjian antara Kerajaan Terengganu dengan Kerajaan British yang ditandatangani pada 22 April 1910. Disamping itu, beliau merupakan salah seorang yang bertanggungjawab terhadap penggubalan Undang-Undang Bagi Diri Tubuh Kerajaan Terengganu (Itqanul Muluk Bi Takdilis Suluk) yang telah ditandatangani pada 2 November 1911. Tengku Seri Utama Raja telah mengemudi pejabat agama selepas penubuhannya selama 1 tahun 8 bulan dan beliau bersara pencen daripada perkhidmatan kerajaan pada 29 Januari 1922.

Tengku Seri Utama Raja, Tengku Ngah Umar bin Abd Rahim (duduk dua dari kanan) bergambar bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad (duduk tengah) dan pegawai kerajaan

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pejabat Jam Besar) pada tahun 1924 yang menempatkan berbagai-bagai pejabat termasuklah pejabat Agama 

Tengku Seri Bijaya Diraja, Tengku Chik Ahmad bin Abd Rahman telah dilantik secara rasmi sebagai Pesuruhjaya Agama dan Keadilan pada 1 Ogos 1924M sehinggalah pencen pada 24 Januari 1929 dan kemudiannya telah diambil alih oleh Penolong Syeikhul Islam, Dato Kamal Wangsa Hj Wan Sulaiman bin Daud. Pada 4 Januari 1932, DYMM Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah berkenan melantik Dato Seri Amar Diraja Hj Ngah @ Muhammad bin Yusof, Menteri Besar Terengganu sebagai Pesuruhjaya Agama dan Keadilan baru bagi menggantikan Dato’ Kamal Wangsa. Sementara Dato’ Kamal Wangsa pula, telah diperkenan oleh baginda Sultan untuk dilantik sebagai mufti kerajaan dan menjawat jawatan tersebut sehinggalah bersara pada tahun 1935.

Sebagai ketua jabatan, Tengku Seri Utama Raja telah menyusun atur struktur organisasi Pejabat Agama dan Keadilan dengan menjadikan perjawatan-perjawatan seperti Mufti, Kadi, Hakim, Syeikhul Islam dan Penolong Syeikhul Islam berada dibawah tanggungjawab beliau. Secara tidak langsung, segala fungsi-fungsi dan bidang-bidang kuasa yang dijalankan sebelum ini oleh pejabat Mahkamah Syariah, Pejabat Keadilan dan Pejabat Mahkamah Kadi berada dibawah seliaan beliau. Beliau telah menyusun dan membahagikan Pejabat Agama dan Keadilan kepada enam (6) aktiviti atau bahagian sebagaimana berikut :

  • Fatwa
    Ia dikendalikan oleh Mufti Dato Indera Guru Mohd Salleh bin Ismail
  • Nikah, Cerai dan Wali Hakim
    Ia diketuai oleh Syeikhul Islam, Engku Embong Syed Abu Bakar bin Abdul Rahman al-Idrus dan dibantu oleh Penolong Syeikhul Islam, Sulaiman bin Daud (Dato’ Kamal Wangsa)
  • Kehakiman
    Ia diketuai oleh Hakim, Mohamad bin Hitam (Dato Biji Sura)
  • Masjid
    Ia dikendalikan oleh Nazir Masjid, Ismail bin Mohamad
  • Mahkamah Kadi
    Ia kendalikan oleh Kadi Hj Wan Taib bin Abdul Rahman.
    Pada bulan Ogos 1921, Syeikhul Islam, YM Syed Abu Bakar bin Abdul Rahman al-Idrus, anak kepada Syed Abdul Rahman bin Mohamad al-Idrus (Tok Ku Paloh) telah diamanahkan sebagai pemangku Pesuruhjaya Agama sehingga tahun 1923. Sepanjang tempoh tersebut, pihak kerajaan sedang berusaha untuk mengenal pasti beberapa calon-calon yang berpotensi dan berkelayakan untuk menggalas jawatan tersebut. Akhirnya pada awal tahun 1924, sepucuk surat petisyen dari orang ramai telah mencadangkan supaya Dato Seri Amar DiRaja Hj Ngah @ Muhammad bin Yusof, Naib Menteri Besar Terengganu ketika itu untuk menerajui pejabat agama. Beliau bagaimanapun sebaliknya telah mencadangkan pencalonan nama Tengku Seri Bijaya Diraja, Tengku Chik

    Ahmad bin Abd Rahman sebagai Pesuruhjaya Agama dan ia telah mendapat perkenan DYMM Sultan serta direstui oleh Penasihat British, J.L. Humpreys.

Pelan kedudukan pejabat agama (bertanda bulat) di bangunan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pejabat Jam Besar) pada tahun 1924

Surat tauliah pelantikan Dato’ Seri Amar Diraja, Hj Ngah @ Mohamad bin Yusof, Menteri Besar Terengganu sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu pada 4 Januari 1932

Perlantikan Dato Seri Amar Diraja Hj Ngah @ Muhammad bin Yusof sebagai Pesuruhjaya Agama dan Keadilan ini adalah merupakan sebagai jawatan tambahan di samping jawatan Menteri Besar. Dengan pelantikan ini, tanggungjawab dan komitmen beliau semakin bertambah dan ini memerlukan kepada pelantikan seorang setiausaha untuk mengurus dan mentadbirkan pejabat agama. Beliau telah melantik Hj Awang Khatib menjadi setiausaha pejabat agama. Tetapi dua tahun kemudian, Dato’ Seri Amar Diraja telah melantik Chek Da Abdul Rahman bin Datuk Biji Sura menjadi setiausaha sementara pejabat agama.
Belum pun sampai setahun menjawat jawatan Pesuruhjaya Agama dan Keadilan, beliau telah merancang usaha-usaha kearah pembinaan bangunan baru sekolah Arab dan akhirnya upacara perletakan batu asas pembinaan madrasah yang dinamakan Madrasah Sultan Zainal Abidin telah diadakan pada 13 November 1932. Upacara ini telah disempurnakan sendiri oleh DYMM Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan ia dibuka secara rasmi pada tahun 1933
Apabila Dato Seri Amar Diraja Hj Ngah @ Muhammad bin Yusof kembali kerahmatullah pada 28 Jun 1940, telah wujud kekosongan jawatan Pesuruhjaya Agama di pejabat Agama. Bagaimanapun, kekosongan jawatan tersebut tidaklah begitu lama kerana Hakim Mahkamah Besar ketika itu iaitu Dato Biji Sura Nik Mohamad bin Hitam telah dipersetujui untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Agama dan Keadilan mulai 25 Ogos 1940. Semasa beliau berkhidmat, terdapat 68 orang pegawai dan kakitangan yang bertugas di pejabat agama dan Mahkamah Kadi termasuklah yang berada di seluruh daerah-daerah.
Pada akhir tahun 1941, Jepun melancarkan serangan keatas Semenanjung Tanah Melayu dan memasuki Terengganu pada 10 Disember 1941. Pentadbiran tentera Jepun telah mengekalkan Dato’ Biji Sura sebagai Pesuruhjaya Agama sehinggalah beliau pencen pada 30 Jun 1942. Kemudian, jawatan Pesuruhjaya Agama dan pentadbiran pejabat agama telah diambil alih dan dikendalikan sendiri oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mulai 26 Julai 1942 sehinggalah mangkat pada 24 September 1942. Sepanjang tempoh tersebut, baginda telah bertindak melantik Hj Wan Abdul Rahman bin Long (Dato’ Perba Diraja) sebagai Kadi Besar dan mengeluarkan peraturan-peraturan perjalanan Mahkamah kepada kadi-kadi.

Memo Setiausaha Sulit kepada YB al-Sultan Terengganu kepada Setiausaha Pejabat Ugama mengenai perkenan DYMM al-Sultan memegang jawatan Pesuruhjaya Ugama yang bertarikh 14 Julai 1942

Seterusnya, 3 bulan kemudian, Gabenor Jepun di Terengganu bergelar Syuchokan telah bersetuju melantik Mufti Kerajaan Terengganu, Syeikh Hasan bin Said al-Yamani sebagai Pesuruhjaya Agama Terengganu pada 12 Disember 1942. Beliau bertugas sehingga 15 September 1943 dan jawatan tersebut kemudiannya telah dipangkukan bersama oleh Pemeriksa Agama, Tuan Hj Ahmad Fuad bin Hassan (Merupakan Yang Dipertua PAS yang pertama dari 1951-1953) dan Kadi Besar, Tuan Hj Wan Abdul Rahman bin Wan Long (Dato’ Perba Diraja) selama sebulan.
Apabila pentadbiran tentera Thai mengambil alih teraju pentadbiran Negeri Terengganu daripada Tentera Jepun pada 18 Oktober 1943, Tuan Hj Wan Abdul Rahman bin Wan Long (Dato’ Perba Diraja) terus diberi mandat sebagai pemangku Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama sehingga 9 Januari 1945.

Artikel ini dipetik daripada buku Sejarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Terbitan Pertama 2018 yang ditulis oleh Ahmad Azhar b. Hj Harun @Musa)