Dari Meja Pesuruhjaya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin Nya dapat kita bersama di Laman Web Rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).  Sebagaimana yang sedia maklum, sesungguhnya perubahan dan kemajuan pesat dalam persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepanjang abad ini telah menganjurkan kesan yang signifikan terhadap pembangunan sistem pengurusan organisasi di peringkat domestik  dan global. Justeru, kemampuan untuk meraih manfaat yang timbul daripada kemajuan terknologi ICT banyak bergantung kepada keupayaan dan kapasiti sesebuah organisasi untuk membuat penyesuaian dengan lancar dan menerima perubahan yang berlaku. 

Dalam masa yang sama, untuk mempertingkatkan lagi peranan JHEAT dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan sebagai sebuah Jabatan Agama yang mentadbir dan mengendalikan pembangunan dan pengurusan Hal Ehwal Agama Terengganu, jabatan akan turut berfungsi sebagai Pusat Maklumat Sehenti (One Stop Center) yang mampu memberi nilai tambah kepada mutu perkhidmatan di jabatan ini.

Sehubungan itu, melalui pengurusan kandungan laman sesawang yang baru dirangka ini maka akan dapat memastikan JHEAT menyalurkan maklumat perkhidmatan yang disediakan sebelum berkunjung ke jabatan ini.

Dalam menempuh era globalisasi dan mengurangkan jurang digital, kita perlulah memperkasakan diri dengan menyediakan pelbagai maklumat yang berguna bagi melaksanakan fungsi dan peranan utama organisasi. Oleh yang demikian, adalah menjadi hasrat JHEAT untuk memastikan semua aspek pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam diurus dengan penuh amanah dan berhikmah melalui pengalaman nilai-nilai murni yang dikongsi bersama sesuai dengan imejnya sebagai sebuah agensi Islam dan dipertingkatkan melalui pembudayaan dan penggunaan ICT adalah merupakan satu kemestian dalam melengkapkan diri di kalangan warga kerja di jabatan ini dan memperkemaskan serta melonjakkan sistem penyampaian kerajaan dengan lebih cekap dan berkesan.

Laman Web rasmi ini merupakan saluran komunikasi yang penting dalam menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat kepada pengguna kerana ianya dapat dicapai di mana jua tanpa mengira had masa. Selain itu, saya berharap laman web ini dapat menyediakan semua maklumat yang tepat dan terkini bagi memenuhi kehendak kakitangan awam agensi yang lain dan juga orang awam.

Dengan ini, saya berharap melalui penggunaan perkhidmatan ini sebagai langkah awal ke arah kerajaan elektronik, JHEAT dapat bersama menyumbang ke arah mewujudkan penyaluran maklumat yang diperlukan oleh pelanggan dan masyarakat awam umumnya selaras dengan kemajuan negara kita yang semakin pesat membangun. Saya juga mengalu-alukan sebarang komen dan pandangan membina daripada pihak anda semua dalam memantapkan lagi pengurusan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan dalam laman ini.

Wassalam.

Pesuruhjaya
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu